KUALA LUMPUR: Pasukan keselamatan Singapura menafikan dakwaan bahawa pegawai Polis Pengawal Pantai (PCG) republik itu memasuki perairan Malaysia dan menghalau nelayan negara ini yang sedang menangkap ikan pada Isnin lalu.

Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan pada Ahad menjelaskan, insiden itu berlaku di perairan wilayah Singapura apabila PCG sedang melakukan rondaan dan mengesan sebuah bot nelayan Malaysia di laut berdekatan Tuas pada jam 6.55 pagi.

SPF memaklumkan ketika itu, ada beberapa lagi bot nelayan lain tetapi mereka berada dalam kawasan perairan Malaysia.

"Bot PCG kemudian mengesan sebuah bot nelayan Malaysia berada dalam kawasan perairan Singapura. Ada beberapa lagi bot nelayan Malaysia ketika itu namun kesemua bot yang lain berada dalam kawasan perairan Malaysia.

"Pegawai PCG bertugas kemudian menghampiri bot nelayan itu dan menasihati nelayan berkenaan segera meninggalkan perairan Singapura.

"Bagaimanapun, pukat nelayan itu rosak dalam proses pegawai PCG cuba melepas pukat itu daripada kipas enjin bot. Ingin kami tegaskan, pegawai PCG menguatkuasakan undang-undang di kawasan perairan Singapura bukan Malaysia," kata kenyataan tersebut.

16 Ogos lalu, sekumpulan empat nelayan tempatan mendakwa bot penguat kuasa Singapura melanggar dan merosakkan jaring undang di kawasan perairan Selat Tebrau.